~HIDUP PENUH KEHIJAUAN~

...


Online Now Icons

perkembangan fungsi anatomi dan fisiologi

Tajuk 5: PERKEMBANGAN FUNGSI ANATOMI DAN FISIOLOGI

1.0 Perubahan jantung, darah dan paru-paru semasa pertumbuhan

1.1 Ciri-ciri peredaran darah fetus

Jantung dan salur darah adalah terbentuk daripada sel-sel embrio mesodermal. 3 minggu selepas persenyawaan, salur jantung primitif mula terbentuk. Sejurus selepas itu, jantung ini mula berdenyut. Salur ini akan tumbuh dan membentuk kaviti perikardial. Jantung akan membentuk struktur umumnya pada penghujung minggu ke-6 selepas persenyawaan, dan salur-salur darah utama terbentuk pada minggu ke-8. Salur jantung primitif akan melipat dan menyimpul dengan sendirinya lalu membentuk 4 ruang yang jelas. Kedua-dua proses ini mengakibatkan 4 ruang jantung tersusun pada kedudukan yang betul dalam kaviti perikardial bersama-sama salur-salur darah utama jantung. Pelbagai jenis penyakit jantung kongenital yang wujud adalah hasil daripada proses embrio yang terganggu. Sistem peredaran darah fetus yang utama dapat diperhatikan dalam gambarajah di bawah.

Gambarajah 1.1: Fetus bersama plasenta

Gambarajah 1.2 : Fetus tanpa plasenta

Plasenta (uri) merupakan penghubung antara peredaran fetus dan ibu. Vena umbilical membawa oksigen dan nutrien dari plasenta ke fetus, dan dua arteri umbilical membawa darah tanpa oksigen dari fetus ke plasenta untuk dioksigenkan dan pembuangan bahan-bahan kumuh ke dalam peredaran ibu. Hanya sejumlah kecil keluaran kardiak fetus yang melalui paru-parunya kerana terdapatnya halangan (pemisah) yang mengalihkan darah dari sebelah kanan ke sebelah kiri. Foramen ovale adalah penghalang pertama, yang merupakan satu bukaan sehala di dalam septum yang membahagikan atria kanan dan kiri. Ductus arteriosus adalah penghalang kedua, di mana sejumlah kecil darah yang dipamkan oleh ventrikel kanan mengalir ke aorta dan bukannya ke arteri pulmonari. Duktus adalah satu salur kecil yang menghubungkan arteri pulmonari utama dengan aorta. Adalah dianggarkan sejumlah 10% - 15% darah yang dipamkan oleh jantung telah melalui paru-paru semasa fetus. Ductus venosus adalah satu salur sementara yang membenarkan sedikit darah mengalir dari vena umbilical terus ke vena kava inferior dan atrium kanan. Darah di dalam vena umbilical mempunyai 70% oksigen tepu manakala tisu periferi hanya mempunyai antara 55% - 60%.

1.2 Perubahan saiz jantung

Dalam hidup fetus, jantung sebelah kanan mempunyai isipadu yang hampir sama dengan sebelah kiri. Selepas kelahiran, pertumbuhan ventrikel kiri adalah lebih pesat berbanding sebelah kanan. Isipadu jantung pada masa kelahiran adalah lebih kurang 40cm3. Jumlah ini akan berganda menjelang 6 bulan, 4 kali ganda pada tahun 2 dan akan mencapai antara 600 – 800 cm3 dalam dewasa.

1. 20 hari selepas persenyawaan

Jantung terdiri daripada dua tiub selari.

2. 22 hari selepas persenyawaan

Dua tiub tadi bercantum untuk membentuk satu tiub. Tiub yang memanjang ini berpusing antara ruang kecil pericardium.

3. 31 hari selepas persenyawaan

Bahagian septum dalam (septum primum, hijau) dan interventricular septum membesar ke arah tengah jantung.

4. 35 hari selepas persenyawaan

Interventricular septum hampir terbentuk. Foramen terbuka dalam septum primum dan septum secundum mula terbentuk.

5. Peringkat akhir bagi ambrio

Darah daripada atrium kanan mengalir melalui foramen ovale ke dalam atrium kiri. Selepas kelahiran, apabila darah mula mengalir pada arah lain,darah sebelah kiri interatrial septum dipaksa melalui sebelah kiri menutup foramen ovale.

1.3 Perubahan fungsi jantung

1.3.1 Denyutan nadi

Purata kadar nadi dalam bayi yang baru dilahirkan adalah 140 dsm. Kadar dasar nadi menurun dari 140 dsm (kelahiran) ke 100 dsm (1 tahun), dan menurun seterusnya ke 80 dsm (6 tahun) dan 70 dsm (10 tahun).

1.3.2 Isipadu strok dan keluaran kardiak

Isipadu strok ialah isipadu darah yang dipamkan oleh ventrikel kiri pada satu penguncupan, meningkat dari peringkat kanak-kanak ke remaja. Jumlahnya adalah antara 3 – 4ml (kelahiran) dan meningkat 10 kali ganda iaitu 40ml di peringkat sebelum remaja. Keluaran kardiak ialah Keluaran darah dari ventrikel kiri dalam satu minit. Keluaran kardiak adalah 0.5L/min (kelahiran) manakala di peringkat dewasa adalah 5L/min.

1.3.3 Tekanan darah

Tekanan darah sistemik dalam fasa-fasa diastolik dan sistolik penguncupan otot jantung meningkat semasa pertumbuhan. Tekanan darah sistolik dalam bayi berubah-ubah antara 40 – 75mmHg. Dalam lewat bayi, tekanan darah ini meningkat ke 80mmHg dan tekanan darah diastolik meningkat ke 50 – 55mmHg. Tekanan darah sistolik meningkat lebih daripada tekanan darah diastolik semasa peringkat kanak-kanak ke remaja.

Semasa pertumbuhan, saiz jantung bertambah dan ini ada berkait dengan jisim badan. Ini bererti saiz jantung adalah berkadaran dengan jisim badan. Jantung secara progresifnya akan disesuaikan dengan penambahan kerja, walaupun dalam keadaan rehat.

1.4 Perubahan ciri-ciri darah semasa pertumbuhan

1.4.1 Isipadu darah

Dalam kanak-kanak, isipadu darah berkait rapat dengan jisim badan dan saiz jantung. Dalam orang dewasa secara puratanya terdapat 5L darah di mana 3L adalah plasma dan bakinya adalah sel, khususnya sel darah merah. Bayi yang baru dilahirkan mempunyai antara 300 – 400ml darah dalam badan.

1.4.2 Komposisi darah

Salah satu ciri penting darah adalah hematocrit iaitu peratus isipadu darah yang mengandungi sel darah merah (eritrosit). Secara puratanya, lelaki dewasa mempunyai 40% - 45% berbanding perempuan dewasa yang mempunyai 38% - 42%. Kedua-dua sel darah merah dan hemoglobin mempunyai peranan utama dalam pengangkutan oksigen ke tisu-tisu badan. Dalam lelaki dewasa, bilangan sel darah merah adalah sebanyak 5.5 juta/mikroliter dan 4.6 juta/mikroliter dalam perempuan dewasa. Sel darah merah dihasilkan oleh sumsum tulang dalam bayi dan awal kanak-kanak. Menjelang umur 5 tahun, penghasilannya berkurangan.

Eritrosit tidak mempunyai nukleus tetapi penuh dengan hemoglobin dan komponen-komponen sitoplasma. Eritrosit mempunyai hayat antara 110 – 120 hari. Jumlah kandungan hemoglobin dalam darah adalah berkait dengan pengambilan maksimum oksigen, isipadu jantung dan jisim tubuh. Sel darah putih (leukosit) juga berubah semasa pertumbuhan. Dalam kelahiran jumlah bilangan mencapai sehingga 40 ribu/mikroliter, tetapi di peringkat dewasa bilangannya adalah 8 ribu/mikroliter. Bilangan platelet tidak menunjukkan banyak perubahan sejak lahir hingga dewasa, iaitu sekitar 350 ribu/mikroliter.

1.4.3 Lipid darah dan lipoprotein

Lipid darah dan lipoprotein sering dikaitkan dengan pelbagai masalah metabolisme di peringkat dewasa, termasuklah arteriosklerosis yang berkait dengan tabiat pemakanan dan tahap aktiviti fizikal.Trigliserida adalah molekul lemak dan kolesterol bersifat seperti molekul lemak dalam banyak aspek. Kedua-dua bahan ini tidak larut air dan diangkut dalam darah bersama protein. Lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL-cholesterol), mempunyai lebih protein berbanding kolesterol. Lipoprotein berketumpatan rendah (LDL-cholesterol) dan lipoprotein berketumpatan sangat rendah (vLDL-cholesterol), mempunyai lebih kolesterol berbanding protein. Tahap LDL yang tinggi sering dikaitkan dengan arteriosklerosis. Bayi perempuan mempunyai tahap lipid darah dan kolesterol yang lebih daripada lelaki semasa kelahiran.

1.5 Perubahan fungsi paru-paru dan pernafasan semasa pertumbuhan

1.5.1 Perkembangan dan pertumbuhan paru-paru

Paru-paru mula bertumbuh sebaik sahaja berlakunya persenyawaan. Pembentukannya bermula sebagai satu kantung di minggu ke-4 dan seterusnya terbahagi kepada dua. Pada minggu ke-16, ‘pokok’ bronkiol mula terbentuk dan 3 bulan terakhir fetus, alveoli mula terbentuk. Kebanyakannya terbentuk dengan lengkap semasa pasca natal.

Paru-paru fetus terdiri daripada cecair, termasuk cecair amniotik dan komponen darah. Kebanyakan cecair ini dikeluarkan apabila toraks ditekan dalam proses kelahiran, dengan bakinya dikeluarkan melalui salur limfa. Pergerakan pernafasan yang dapat dikesan dalam fetus menunjukkan bahawa pusat pernafasan di otak dan mekanisme otot-saraf yang perlu untuk proses ini telah wujud sebelum kelahiran.

Paru-paru manusia adalah seberat 60 – 70g semasa kelahiran dan jisim ini meningkat sebanyak 20 kali ganda sebelum kematangan. Bilangan alveoli meningkat dari 20 juta (kelahiran) ke 300 juta (umur 8 tahun). Isipadu paru-paru adalah lebih daripada jisim paru-paru. Bayi yang baru dilahirkan boleh menyedut sebanyak 3ml udara segram tisu manakala orang dewasa adalah antara 8 – 10ml.

1.5.2 Fungsi pernafasan

Proses respiratori melibatkan dua komponen. Pertama, melibatkan paru-paru di mana pemindahan oksigen dan karbon dioksida antara kanak-kanak dan ruang persekitarannya. Kedua, melibatkan pengangkutan gas dalam darah ke dan dari tahap sel-sel atau dikenali sebagai respirasi selular.

Mekanisme pernafasan termasuklah:

 Pusat respiratori terletak di dalam tunjang otak

 Reseptor regang di dalam paru-paru, yang mengalirkan impuls proprioseptif melalui saraf vagus

 Reseptor kimia karotid dan aortik, akan terangsang apabila kandungan oksigen dalam darah menurun

 Pusat respiratori di dalam tunjang otak dan pusat reseptor kimia, akan terangsang apabila kandungan karbon dioksida dalam darah meningkat atau pH darah menurun

Kekerapan pernafasan semasa kelahiran adalah sebanyak 40 nafas seminit dan kadar ini menurun ke 30 nafas seminit menjelang umur satu tahun. Di antara umur 5 – 6 tahun, kekerapan adalah sebanyak 22 nafas seminit dan seterusnya menurun ke 16 atau 17 nafas seminit.

Isipadu sisa (residual volume) adalah isipadu gas yang berada di dalam paru-paru selepas satu hembusan maksimum. Isipadu tidal (tidal volume) adalah purata isipadu udara yang dihembus semasa pernafasan normal. Isipadu simpanan tarikan nafas (inspiratory reserve volume) adalah isipadu maksimum gas yang boleh ditarik masuk dari paras normal pernafasan isipadu tidal. Isipadu simpanan hembusan (expiratory reserve volume) adalah isipadu maksimum gas yang boleh dihembus dari paras normal pernafasan isipadu tidal.

Kapasiti vital (vital capacity) adalah isipadu maksimum gas yang boleh dikeluarkan dari paru-paru hasil daripada tarikan nafas maksimum. Kapasiti pernafasan (inspiratory capacity) adalah isipadu maksimum gas yang boleh disedut. Kapasiti sisa fungsi (functional residual capacity) adalah isipadu gas yang tertinggal di dalam paru-paru selepas satu pernafasan normal.

2.0 Perkembangan motor

Perkembangan dan penghalusan lakuan kemahiran di dalam aktiviti motor adalah penting dalam perkembangan dunia kanak-kanak. Aktiviti-aktiviti motor ini merupakan sebahagian utama dalam tingkah laku kanak-kanak dan memberi peluang untuk mereka mengalami persekitaran yang mencabar, khususnya semasa prasekolah.Perkembangan motor merupakan satu proses di mana kanak-kanak memperolehi kemahiran dan pola pergerakan. Ini dicirikan dengan suatu modifikasi berterusan yang berasaskan kepada:

 Proses kematangan otot-saraf yang berkemungkinan diselaraskan secara genetik

 Sifat-sifat kematangan dan pertumbuhan dalam kanak-kanak (cthnya: saiz dan komposisi badan)

 Kesan sampingan pengalaman motor yang terdahulu

 Pengalaman motor yang terkini

21. Kemahiran dan pola pergerakan

Pola motor adalah merujuk kepada pergerakan asas dalam melaksanakan sesuatu tugas. Dalam kemahiran motor, penekanan adalah pada ketepatan, kejituan, dan prestasi.

2.2 Klasifikasi aktiviti motor

2.2.1 Aktiviti motor halus dan kasar

Motor halus adalah pergerakan yang memerlukan kejituan dan kemahiran seperti dalam tugasan manipulatif. Motor kasar adalah pergerakan yang melibatkan seluruh badan atau anggota badan seperti dalam aktiviti lokomotor. Kebanyakan lakuan motor merangkumi unsur-unsur motor kasar dan halus.

2.2.2 Pola motor asas

Ini adalah merujuk kepada bentuk pergerakan asas. Bentuk pergerakan asas ini terdiri daripada lokomotor, bukan lokomotor dan manipulatif. Bentuk pergerakan asas boleh terdiri daripada gabungan mana-mana aspek yang disenaraikan.

2.2.3 Proses dan hasil pergerakan

Proses pergerakan melibatkan teknik sesuatu pergerakan, contohnya putaran pinggul, aksi lengan, aksi kaki, dan sebagainya. Ianya juga melibatkan mekanik sesuatu pergerakan, contohnya sudut lonjakan , panjang tuas lengan, sudut antara sendi, dan sebagainya. Hasil pergerakan tertumpu kepada keputusan akhir sesuatu lakuan, contohnya jarak lompatan, catatan masa larian, dan sebagainya.

2.3 Pantulan dalam bayi yang baru dilahirkan

Tindak balas motor bayi yang baru dilahirkan adalah sambungan daripada apa yang telah wujud semasa dalam keadaan fetus. Pola ini wujud dalam bentuk pantulan semasa kelahiran. Sesetengah pantulan ini adalah berbentuk mudah dan dikawal oleh saraf tunjang manakala sebahagiannya adalah kompleks dan memerlukan integrasi otak dan pusat saraf yang lain.

Pantulan Moro (Moro reflex) adalah pola pantulan yang wujud dalam bayi sejak lahir ke 3 bulan.

Pantulan Startle (Startle reflex) wujud akibat bunyian yang kuat dan bayi akan bertindak balas dengan mengfleksikan anggota badan.

Pantulan genggaman (palmar grasp reflex) berlaku apabila sesuatu objek diletakkan pada tapak tangan bayi.

Pantulan leher (tonic neck reflex) mula kelihatan selepas beberapa bulan dilahirkan. Apabila kepala bayi dipusingkan ke sebelah, bayi akan bertindak balas dengan memanjangkan kaki dan lengan pada bahagian yang dipusingkan dan fleksi pada bahagian yang bertentangan.

Pantulan righting adalah berkait dengan hubungan antara kepala dengan anggota badan.

Pantulan labyrinthine adalah berkait dengan orientasi badan terhadap daya graviti.

Pantulan primitif (primitive reflexes) yang terdiri daripada pantulan Moro, startle dan genggaman lazimnya terbentuk dengan sempurna sejak lahir sehingga bulan ke-3.

Pantulan postur yang terdiri daripada pantulan leher, labyrinthine, righting mula terbentuk selepas bulan ke-3 dan seterusnya.

2.4 Faktor-faktor yang boleh mempengaruhi perkembangan motor kanak-kanak

2.4.1 Cara penjagaan

2.4.2 Bilangan kelahiran

2.4.3 Bilangan kanak-kanak dalam keluarga

2.4.4 Peluang untuk pergerakan dan bermain secara aktif

2.4.5 Status sosioekonomi

2.4.6 Status pemakanan

2.4.7 Persekitaran

2.4.8 Biologikal (genotaip, saiz badan, komposisi badan)

2.4.9 Persepsi kanak-kanak terhadap persekitarannya

2.5 Prinsip Perkembangan Motor

Arnold Gesell (1952), telah memperkenalkan 2 prinsip perkembangan motor yang berfokus pada perkembangan yang berlaku dalam dua tahun pertama selepas kelahiran bayi. Prinsip-prinsip tersebut adalah prinsip cephalocaudal dan prinsip proximodistal.

2.5.1 Prinsip cephalocaudal

Cephalocaudal adalah gabungan dua perkataan Latin iaitu:

cephalo = kepala dan caudal = penghujung saraf tunjang

Perkembangan cephalocaudal adalah merujuk kepada perkembangan kawalan otot secara beransur-ansur dari bahagian kepala ke bawah sehingga ke hujung jari kaki. Contohnya, dalam perkembangan janin, bahagian kepala terbentuk dahulu, diikuti bahagian tangan dan seterusnya pada bahagian kaki.

Kawalan motor bermula dari bahagian kepala, leher dan badan sebelum dapat mengawal bahagian kaki seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah.

Aktiviti

Umur

 Kawalan kepala

 Bergolek

 Duduk

 Berdiri dengan bantuan

 Menyusup dan merangkak

 Berdiri sendiri

 Berjalan dan berlari

- Dengan bantuan

- Sendiri

- Berlari kekok

- Berlari dengan baik

 Melompat

 Semasa kelahiran

 5 – 6 bulan

 6 – 6.5 bulan

 8 bulan

 9 – 10 bulan

 13 – 14 bulan

 9 – 11 bulan

 18 bulan

 20 bulan

 20 bulan

 20 bulan

Jadual 2.5.1 : Lakuan aktiviti dengan tahap umur

2.5.2 Prinsip proximodistal

Proximadistal adalah juga gabungan dua perkataan Latin iaitu:

proximo = hampir dan distal = jauh

Perkembangan proximodistal adalah merujuk secara khusus perkembangan kawalan otot secara beransur-ansur dari bahagian tengah (paksi) badan ke bahagian yang menjauhi paksi badan. Contohnya, kanak-kanak dapat mengawal otot-otot pada bahagian atas badan dan bahu sebelum mereka dapat mengawal otot-otot pada bahagian lengan, tangan dan jari.

Aktiviti

Umur

 Menggenggam objek tetapi tidak boleh mengutipnya

 Menggenggam objek besar dengan sebelah tangan dan memindah ke tangan yang lain

 Memegang objek kecil tetapi tidak dapat mengutip

 Berupaya mencubit objek kecil

 Dapat memasukkan objek kecil ke dalam botol

 4 bulan

 6 – 6.5 bulan

 7 bulan

 9 bulan

 15 bulan

Jadual 2.5.2 :Lakuan aktiviti dengan tahap umur

3.0 Prestasi motor dan kekuatan

Perkembangan kemahiran motor asas kanak-kanak lazimnya terbentuk menjelang umur 6 – 7 tahun. Komponen kekuatan diambil kira dalam prestasi motor kanak-kanak kerana ini merupakan satu komponen penting dan juga prestasi motor sering digunakan sebagai satu petunjuk kepada kekuatan otot. Kekuatan adalah daya otot atau kebolehan seseorang individu membentuk tekanan terhadap rintangan luaran. Terdapat beberapa jenis kekuatan iaitu kekuatan statik, dinamik dan letusan (kuasa).

Kekuatan statik atau isometrik adalah daya yang dikenakan ke atas rintangan luaran tanpa sebarang perubahan pada panjang otot. Lazimnya kekuatan jenis ini diukur pada kumpulan otot yang khusus, contohnya kekuatan genggaman, kekuatan fleksi atau ekstensi lutut.

Kuasa adalah kemampuan otot melepaskan daya maksimum dalam suatu tempoh yang singkat. Contohnya, pengukuran lompat jauh berdiri. Kekuatan dinamik adalah daya yang dibentuk hasil daripada penguncupan otot yang berterusan. Contohnya, pengukuran tekan tubi dan mendagu.

Daya tahan otot adalah merujuk kepada kebolehan mengulangi atau mengekalkan penguncupan otot untuk suatu tempoh masa yang lama. Contohnya, gantung siku bengkok.

Ujian prestasi yang merangkumi kemahiran motor asas lazimnya melibatkan kawalan motor dan kekuatan. Melompat melibatkan koordinasi motor dan kuasa otot untuk membolehkan badan bergerak mendatar ke hadapan seperti di dalam lompat jauh berdiri. Membaling melibatkan koordinasi dan kuasa dalam melepaskan balingan sesuatu objek. Lari pecut adalah ujian yang melibatkan kepantasan manakala lari ulang alek melibatkan ketangkasan. Imbangan adalah perl dalam prestasi aktiviti motor sama ada dalam bentuk statik atau dinamik manakala kelenturan melibatkan julat pergerakan sendi di pelbagai bahagian badan. Lain-lain kemahiran motor asas yang boleh diuji termasuklah menendang untuk jarak, menyambut bola yang dilambung, ‘hopping’ atau ‘skipping’, membaling untuk ketepatan dan sebagainya.

3.1 Prestasi motor di peringkat awal kanak-kanak

Kekuatan otot meningkat di peringkat ini. Lelaki menunjukkan peningkatan yang lebih berbanding perempuan di dalam aktiviti berlari, melompat dan membaling. Perempuan menunjukkan prestasi yang lebih baik di dalam aktiviti imbangan berbanding lelaki di antara umur 3 – 5 tahun, dan lebih baik di umur 6 tahun. Secara puratanya, lelaki menunjukkan prestasi yang cemerlang di dalam aktiviti yang melibatkan kuasa dan kelajuan manakala perempuan lebih ke arah aktiviti imbangan.

3.2 Prestasi motor di peringkat pertengahan kanak-kanak dan remaja

Kekuatan dan prestasi motor lazimnya meningkat mengikut umur. Walau bagaimanapun, pola peningkatan ini berbeza mengikut aktiviti. Kekuatan lelaki meningkat secara linear mengikut umur sehingga 13 atau 14 tahun di mana peningkatan adalah mendadak manakala kekuatan perempuan meningkat secara linear mengikut umur sehingga 16 atau 17 tahun.

Daya tahan otot lelaki meningkat secara linear dari 5 sehingga 13 atau 14 tahun di mana peningkatan mendadak berlaku selepas itu manakala daya tahan otot perempuan meningkat secara linear mengikut umur.

Dalam komponen kelenturan, perempuan didapati lebih lembut daripada lelaki di semua peringkat umur, dan ini amat ketara di peringkat pertumbuhan pesat remaja dan kematangan seksual.

Tempoh antara 5 hingga 8 tahun adalah suatu tempoh perubahan di dalam perkembangan kekuatan dan prestasi motor. Pola pergerakan asas mula matang pada tempoh ini dan amat berbeza dalam setiap kanak-kanak.

4.0 Prestasi aerobik

Petunjuk prestasi aerobik semasa pertumbuhan adalah merujuk kepada perubahan di dalam kardiovaskular, pulmonari, otot rangka, substrat, pengawalatur suhu badan.

Kuasa aerobik adalah kuasa maksimum tenaga yang dihasilkan dalam seminit oleh gentian otot yang berfungsi. Kapasiti aerobik adalah jumlah tenaga yang sedia ada untuk melaksanakan aktiviti aerobik.

Tiga petunjuk utama metabolisme aerobik semasa senaman di dalam individu yang membesar adalah:

(a) Adaptasi terhadap senaman submaksimum

Kajian telah menunjukkan bahawa tindak balas kardiovaskular dan pulmonari terhadap senaman di paras submaksimum berubah mengikut umur. Perubahan umur ini adalah lebih berkait kepada status kematangan biologikal dan jisim badan berbanding umur kronologi.

(b) Adaptasi terhadap senaman yang lama dan senaman bercorak daya tahan

Data kajian telah menyatakan bahawa senaman jangka masa panjang dapat diatasi oleh kanak-kanak dan remaja tanpa sebarang masalah. Dalam aspek pengawalatur suhu badan, lebih daripada 75% substrat yang ditukarkan kepada tenaga kimia semasa penguncupan otot rangka perlu dibebaskan sebagai haba. Kanak-kanak mempunyai luas permukaan yang lebih besar berbanding dewasa pada setiap kilogram jisim badan. Apabila kadar haba yang tinggi perlu dibebaskan, kanak-kanak mempunyai kelebihan kerana luas permukaan badannya berbanding dewasa tetapi mempunyai kapasiti perpeluhan yang kurang. Ini menyebabkan kanak-kanak kurang upaya untuk bergantungan pada proses sejatan peluh untuk membebaskan haba yang berlebihan. Oleh yang demikan, kanak-kanak tidak berupaya melakukan senaman di cuaca yang panas dan lama berbanding dewasa.

(c) VO2 max

Kuasa aerobik maksimum adalah berkait dengan saiz badan, kematangan dan jantina. Kuasa ini diukur pada kadar nadi maksimum senaman, yang lazimnya tinggi dalam kalangan kanak-kanak. Min kadar nadi maksimum kanak-kanak boleh mencapai antara 200 ke 215 dsm dan kadar ini menurun mengikut peningkatan umur. Menjelang lewat remaja kadar ini mencapai antara 190 ke 195 dsm. Keupayaan kanak-kanak menyesuaikan kapasiti aerobiknya adalah lebih baik berbanding dewasa. Semasa senaman, tempoh untuk kanak-kanak mencapai 50% kapasiti aerobik maksimum adalah lebih singkat berbanding dewasa. Perubahan-perubahan ini akan memberi satu anggaran secara tidak langsung terhadap kapasiti aerobik kanak-kanak semasa pertumbuhan.

5.0 Prestasi anaerobik

Penghasilan tenaga anaerobik adalah penting dalam pertumbuhan kanak-kanak kerana kebanyakan aktiviti mereka melibatkan penggunaan tenaga yang banyak, berintensiti tinggi dan jangka masa yang lama. Oleh yang demikian, sumber tenaga yang dihasilkan oleh pengoksidaan otot rangka adalah tidak mencukupi untuk menampung keperluan tenaga ini.

Semasa pertumbuhan penentu-penentu prestasi anaerobik seperti morfologi, fisiologi dan biokimia akan berubah. Jisim otot yang akan bertambah mengikut umur memberi satu kesan terus kepada penghasilan tenaga anaerobik. Kepekatan maksimum laktat darah meningkat mengikut umur semasa pertumbuhan. Kepekatan laktat otot semasa senaman submaksimum adalah lebih rendah dalam kanak-kanak berbanding dewasa. Oleh yang demikian, pemerhatian ini mencadangkan bahawa individu yang sedang membesar kurang bergantung pada metabolisme glikogen untuk menampung ATP yang digunakan semasa aktiviti aerobik dan anaerobik.

RUJUKAN

Bucher, C.A. (1983). Foundation of Physical Education (9th. Ed.). St. Louis : C.V. Mosby.

Graham, G. (1992). Teaching Physical Education : Becoming A Master Teacher. Champaign, IL : Human Kinetic.

Mosston,M.(1981). Teaching Physical Education. London Sydney : Charles E. Merill Pub, Co, A. Bell, Howell.

Randall L.E. (1992). The Student Teacher’s Handbook For Physical Education. Champaign IL: Human Kinetics.

Magill Richard A. (1998). Motor Learning: Concepts And Applications – 5th ed. . McGraw-Hill

Debra J. Rose (1997). A Multilevel Approach To Study Of Motor Control and Learning. Allyn and Bacon

Schmidt, R.A. (1991). Motor learning and performance: from principles to practice. Champaign, IL: Human Kinetics.

4 ulasan:

nbz berkata...

asemen ka??hik3

LUVNTHE TREE berkata...

yup.. nk share ngn org yg nak.. sush woo nk dpt.. exam dia pown bley than..

Nurul Wahida berkata...

tenx utk shared nih. susah nk jumpa.sgt menghargai.

Ruwal Findi berkata...

MOHON SHARE..SGT MEMBANTU..TERIMA KASIH..